14 December 2011

Ketahui Fakta dan Hakikat Sebenar Minuman Ringan Seperti Coca-Cola dan Pepsi

Keburukan minuman ringan

Cuaca panas terik dan anda benar-benar terasa dahaga. Anda mula terbayang minuman ringan sejuk yang menjadi kesukaan anda. Apatah lagi, anda berdiri bersebelahan dengan mesin minuman. Tetapi sebelum anda mendapatkan minuman kesukaan anda itu, fikirlah sejenak. Sedarkah anda tentang kandungan sebenarnya?

Sungguhpun minuman ringan kini seolah-olah menjadi sebahagian daripada gaya hidup kita, namun kita kurang menitikberatkan tentang kandungannya. Malahan ramai di antara kita tidak menyedari bahawa minuman ini sebenarnya tidak berkhasiat. Kebanyakannya hanyalah air yang bercampur bahan-bahan berkarbonat, asid, pewarna, perisa dan pemanis yang membahayakan kesihatan.

Minuman ringan sering digelar makanan remeh kerana khasiatnya terlalu rendah berbanding risiko bahayanya yang tinggi ke atas kesihatan.

Hakikatnya minuman ringan boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan antaranya osteoporosis (kerapuhan tulang), kegemukan, kerosakan dan kakisan pada gigi serta kanser. Kesemuanya disebabkan kandungan bahan ramuannya. Lebih buruk lagi ia boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak dan remaja.

Penemu bersama insulin, Dr Charles Best pernah mendakwa minuman ringan mempunyai banyak persamaan dengan minuman keras. Sirosis hati telah dikesan dalam remaja yang banyak meminum minuman ringan dan penagih alkohol yang kronik, demikian menurut penulis buku Consumer Beware, Beatrice Hunter.

Kerajaan juga pernah mengeluarkan amaran kepada pengeluar minuman ringan yang terkemuka di dunia kerana produk keluarannya disyaki meninggalkan kesan ke atas tulang kanak-kanak kerana kandungan asid fosforik yang tinggi dalam minuman tersebut.

Malahan pada masa lalu, sesetengah negara mengambil tindakan mengesyorkan pengharaman sesetengah minuman ringan kerana ia diberikan kepada bayi yang tidak disusui sendiri oleh ibu bapa mereka yang terpengaruh dengan iklan yang tidak beretika.

Dalam tahun 1969, bayi-bayi di Zambia dilaporkan mengalami masalah kekurangan zat makanan setelah mereka diberikan Coke dan Fanta kerana ibu mereka menyangka ia minuman yang terbaik untuk bayi. Pada masa yang sama, kira 54% kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan yang serius itu dimasukkan ke hospital kanak kanak dan tertulis ‘Fantababy’ di atas carta kemajuan mereka.

Selanjutnya kerajaan Zambia telah mengharamkan iklan Fanta “kerana pengaruhnya ke atas golongan miskin.”

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Institut Pemakanan di Rio De Janeiro ke atas kanak-kanak sekolah berusia antara 6 hingga 14 tahun yang meminum banyak Coke, Fanta dan Pepsi, kesemuanya menunjukkan masalah kekurangan zat makanan melibatkan protein/kalori.

Menyedari bahaya yang ada, pihak berkuasa di sesetengah negara dalam beberapa tahun kebelakangan telah mengambil langkah serius untuk membatasi pengambilan minuman ringan di kalangan remaja.
Coca Cola


Keburukan Coca-Cola

Singapura telah mengharamkan Coca-Cola, Pepsi Cola dan semua minuman ringan yang mengandungi terlalu banyak gula di sekolah-sekolah pada tahun 1992 (sebagai sebahagian daripada kempen negara ke arah kesihatan yang baik dalam tempoh 10 tahun) kerana minuman itu mengandungi lebih 10% gula, dan menyumbang kepada kegemukan.

Dalam tahun 1980, satu usaha juga telah dibuat oleh Jabatan Pertanian Amerika untuk mengehadkan penjualan minuman ringan di sekolah-sekolah dengan membentuk peraturan yang melarang sekolah daripada menjual minuman ringan dan makanan remeh lain sebelum tamat waktu makan tengah hari yang terakhir.

Apakah ramuan sebenar di dalam minuman ringan sehingga boleh menjejaskan kesihatan? Bacalah fakta-fakta selanjutnya mengenai minuman ini agar anda lebih berhati-hati apabila hendak meminumnya.

Gula

Gula merupakan ramuan asas dalam kebanyakan minuman ringan. Minuman ringan biasa mengandugi sama ada sirap yang kaya fruktos, gula atau gabungan kedua-duanya untuk mendapatkan rasa manis yang diinginkan.

Ujian terbaru kami mendapati minuman tin mengandungi antara 4-15 sudu kecil gula! Di antara jenama minuman tin yang mengandungi banyak gula termasuklah:

F&N Anggur (500ml) 15 1/2 sudu kecil
F&N Fruitade (500ml) – kira-kira 14 1/2 sudu kecil

Kadar pengambilan gula yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) ialah 8-11 sudu kecil sehari. Meminum setin minuman ringan atau lebih dalam sehari memberikan lebih banyak gula daripada yang diperlukan. Tiga tin atau lebih dalam sehari atau lebih buruk setiap hari, hanya mendedahkan anda kepada risiko serangan penyakit.

Gula boleh merosakkan gigi, meningkatkan risiko kencing manis, menyumbang kepada penyakit jantung, masalah penghadaman, kulit dan penyakit pembunuh yang lain.

Menurut seorang ahli saintis Juhn Yudkin, gula merupakan bahan “tulin, putih dan boleh membahayakan.”

William duffy, penulis buku Sugar Blues pula memberi amaran, “sama seperti candu, morfin dan heroin, gula merupakan ubat yang menimbulkan kesan ketagihan dan membawa kemudaratan…”

Gula juga membuatkan kita makan dengan berlebihan sehingga menyebabkan kegemukan. Oleh kerana gula dilepaskan dengan segera ke dalam aliran darah, makanan manis sering membuatkan kita tidak berasa kenyang. Ini bermakna, anda cenderung terus memakan lalu menambah pengambilan kalori anda.

Menurut satu laporan dalam The Ethical Consumer, kemasukan gula yang diproses dengan cepat ke dalam aliran darah boleh menimbulkan keadaan ‘pergantungan’ di mana tubuh terikat dengan pengaliran berterusan gula industri untuk mengekalkan paras gula dalam darah. Ini menyebabkan anda ketagihan gula dan ingin mendapatkannya dengan lebih banyak padahal ia boleh membahayakan kesihatan.

Setiap sesudu kecil gula mengandungi 16 kalori. Jika anda mendarabnya dengan 15 1/2 sudu kecil, iaitu kandungan gula dalam satu tin F&N Anggur 500ml, ini membawa kepada 248 kalori dalam setiap tin minuman ringan.

Keadaan ini samalah seperti anda memakan kira-kira 2 1/2 sudu kecil tidak bergaram. Oleh itu minuman ringan boleh menggemukkan tubuh.


PEMANIS TIRUAN

Minuman ringan diet menggunakan pemanis rendah kalori seperti aspartame, acesulfame K, sakarin dan sukralos. Setakat ini pemanis yang paling banyak digunakan adalah aspartame.

Misalnya Diet Pepsi mengandungi aspartame, pemanis yang 200 kali lebih manis daripada gula. Sedikit pun sudah memadai untuk memaniskannya. Selain itu, ia juga menyedapkan perisa sitrus dan buah-buahan lain lagi.

Malangnya pemanis tiruan ini boleh meninggalkan kesan sampingan kepada sesetengah orang. Beberapa masalah yang telah dialami termasuklah migrain, sakit kepala, hilang daya ingatan, tekanan emosi dan mudah meradang. Ia juga dikatakan boleh menyebabkan kekejangan, loya, cirit-birit, kegatalan pada kulit, pandangan menjadi kabur dan dalam sesetengah keadaan, hilang penglihatan.

Menurut penulis buku Diet For A Poisoned Planet, David Steinman, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) menerima paling banyak aduan mengenai aspartame, iaitu lebih 3000 kes. Mengikut kajian Profesor John W. Olney dari Universiti Washington, St Louis mengenai aspartame yang diterbitkan pada tahun 1996, peningkatan dalam kes-kes kanser otak di kalangan penduduk Amerika sekitar tahun-tahun 1980-an dan 90-an mungkin berpunca daripada pengambilan aspartame.

Beliau menyarankan hasil-hasil penguraian aspartame merupakan agen-agen yang beracun kerana didapati ketumbuhan otak dalam haiwan ujian makmal. Haiwan yang diuji menunjukkan peningkatan dalam kes-kes kanser tertentu apabila terdedah kepada agen itu dan kini manusia pula menunjukkan kesan yang sama.

Sesetengah jenama minuman ringan diet juga mungkin mengandungi sakarin, pemanis tidak berkhasiat yang 300 kali ganda lebih manis daripada gula. Sakarin telah terbukti boleh menyebabkan kanser pundi malah telah diharamkan untuk kegunaan umum di Kanada, New Zealand dan beberapa buah negara Eropah.

Kajian terbaru ke atas label mendapati sakarin terkandung dalam Pepsi Diet. Tinjauan CAP pada tahun 1992 turut mengesan sakarin dalam Diet Coke dan Diet Sarsi.

KAFEIN

Kafein boleh menyedapkan rasa dan biasanya dicampurkan ke dalam minuman kola. Kandungan kafein di dalamnya adalah kira-kira 1/4-1/3 daripada yang terkandung di dalam kopi atau teh. Kafein merupakan ubat yang boleh menimbulkan ketagihan dan merangsang sistem saraf pusat. Produk yang mengandungi kafein tiruan merangsang tubuh dan meningkatkan kadar degupan jantung. Rangsangan tiruan ini hanya menyegarkan fikiran dan menghilangkan keletihan buat seketika.

Rangsangan berlebihan menyingkirkan tenaga penting daripada tubuh kerana ia perlu melawan “racun” yang mencerobohi sistemnya. Dengan kadar pengambilan semasa, kafein boleh menyebabkan insomnia, gugup, mudah meradang dan gelisah selain mengalami gangguan kadar dan rentak degupan jantung.

Menurut satu kajian di Amerika, meminum minuman ringan selespas bekerja keras boleh menghilangkan kalsium dan kalium yang sebaliknya boleh menyakitkan otot dan melambatkan pemulihan selepas bersenam.

Dalam kajian tersebut, 18 orang kanak-kanak dalam lingkungan usia 13-18 tahun diberikan sama ada minuman ringan tanpa gula dan kafein atau minuman ringan berkafein atau bergula. Apabila kafein dicampurkan ke dalam minuman, penyingkiran kalsium melalui air kencing selama tiga jam meningkat sebanya 25%.

Apabila gula dicampurkan ke dalam minuman berkafein, kehilangan kalsium meningkat sekali ganda. Kajian juga mendapati kafein meningkatkan kehilangan natrium, klorida dan kalium.

Para penyelidik mendapati fosforus yang terkandung dalam kebanyakan minuman kola mempercepatkan lagi kehilngan kalsium dan jisim tulang. Apa yang membimbangkan ialah dos dalam ujian tersebut jauh lebih rendah daripada purata pengambilan harian sebenar kafein dan gula dikalangan remaja.

Ujian terbaru mengesan kafein sebanyak 157bps dalam Diet Coke, 117bps dalam Pepsi Diet, 91 bps dalam Pepsi dan 85 bps dalam Coca-Cola.

Sumber: Persatuan Pengguna Pulau Pinang

[Credit to : psipum.org]

No comments: