31 July 2011

Isu Solat Kaki Bersimen

Zubaidah baru lepas mengalami kemalangan jalanraya, kaki kirinya terpaksa disimen dari hujung kaki hingga ke paha.

Persoalan :

01. Bagaimanakah Zubaidah mahu mengambil wudhuk untuk solat ?

02. Sekiranya ketika kemalangan Zubaidah sedang haid (period), bagaimanakah dia harus mandi wajib ?

Jawapan : Dalam kedua-dua senario [A] dan [B], Zubaidah hanya perlu bertayammum
[muka & 2 tapak tangan] sahaja. Seterusnya solat seperti biasa.

Solat yang ditunaikan dengan berbekalkan tayammum, tidak perlu diulang (qadha) semula.

[wallahua'lam]
.............................................................................

30 July 2011

Penyakit Wanita : ENDOMETRIOSIS

Endometriosis

PENYAKIT ENDOMETRIOSIS
Penyakit endometriosis merupakan sejenis penyakit yang agak luar biasa. Ramai yang tidak mengetahui tentang penyakit ini sedangkan sekarang makin ramai wanita yang menghidapinya. Di antara masalah yang ditumbulkan oleh penyakit ini ialah senggugut dan kesakitan, kemandulan dan keguguran yang mungkin berulang-kali. Ia juga boleh menyebabkan berbagai jenis masalah seperti pendarahan, gangguan kencing, kesakitan dan lain-lain.
Apakah sebenarnya penyakit Endometriosis?
Penyakit endometriosis ini adalah satu keadaan luar biasa di mana tisu dari selaput dalam rahim yang digelar endometrium telah tumbuh di bahagian yang tidak sepatutnya iaitu di luar rahim. Selaput ini biasanya luruh bersama-sama darah haid. Oleh itu campuran darah dari rahim dengan tisyu yang telah berkecai daripada lapisan endometrium serta kuman-kuman bakteria, menjadikan apa yang digelar ‘darah kotor’ atau darah haid.

‘Chocolate cyst’ – Endometriosis dalam ovary.
Bagaimana endometrium terjadi
Pada kebiasaannya tempat-tempat di luar rahim di mana tisu endometrium ini tumbuh ialah pada kilang telur (ovari), belakang rahim (utero sacral ligament), tiub saluran fallopian, pundi-pundi kencing, kadang-kala di tempat-tempat yang aneh seperti parut bekas pembedahan untuk melahirkan anak ataupun pembedahan. Endometrium ini juga boleh tumbuh dengan luar biasa saiznya pada dinding/otot rahim menyebabkan penyakit yang digelar Adenomyosis. Dinding rahim menjadi besar dari biasa dan membengkak.
Bagaimana tisyu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat-tempat yang luar biasa, tidaklah diketahui dengan tepat. Terdapat beberapa teori yang cuba menjelaskan berlakunya keadaan seperti ini. Di antaranya ialah ada kemungkinan darah kotor melimpah atau tumpah ke belakang rahim melalui saluran fallopian. Mungkin ini disebabkan oleh rahim yang kedudukannya luar biasa iaitu jatuh ke belakang ke arah tulang tongking (retroverted uterus). Keadaan rahim begini sering dikaitkan dengan penyakit endometriosis sedangkan pesakit yang memiliki rahim yang menghadap ke hadapan (anteverted) jarang ada penyakit endometriosis.
Ada juga yang menyatakan bahawa tisu endometrium ini di bawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar. Tetapi hakikat sebenarnya kita tidak tahu bagaimana ianya berlaku. Ada juga yang mengaitkan bahawa endometriosis ini sering berlaku di kalangan wanita-wanita yang sering tertekan jiwa mereka (stress), yang mudah menggelabah dan di kalangan mereka yang sangat mementingkan kerjaya dan mereka yang tinggi I.Q.nya.
Ada juga yang mengatakan bahawa system ketahanan pada wanita tersebut telah lemah dan lentur, oleh itu tisu- tisu yang patut keluar dari tubuhnya kini menyerang balik tubuh badannya sendiri. Apa yang terjadi ialah apabila tisu endometrium ini melekat pada tempat tempat tertentu, ia mulai tumbuh. Lapisan endometrium menjadi tebal akibat daripada rangsangan hormon wanita dalam pusingan haid dan apabila haid berlaku lapisan endometrium tersebut juga akan mengeluarkan darah.
Jika keadaan begini berlaku dalam telur (ovari) lama kelamaan darah akan berkumpul serta menyebabkan apa yang digelar ovarian cysts atau chocolate cysts kerana mengandungi darah kotor yang berbentuk seperti pasta coklat.

Credit to : dr Hamid Arshat

Penyakit Wanita : KANSER PAYU DARA [Edisi ke-2]

Pembunuh nombor satu wanita

SALAH satu penyakit yang amat digeruni di kalangan kaum wanita di dunia, termasuk Malaysia, ialah kanser payudara.

Walau bagaimanapun, penyakit payudara tidak terhad kepada kanser sahaja. Payudara juga terdedah kepada pelbagai penyakit lain seperti:

1. Fibrocystic Myopathy

* Walaupun ia kerap berlaku dengan peningkatan umur, penyakit ini lebih ketara di kalangan golongan muda.

Pesakit selalunya berasa kesakitan pada payudara terutamanya sebelum kedatangan haid.

Selalunya pesakit akan berasa ketulan kecil di dalam payudara tanpa ketulan biji yang sebenar.

Ini berpunca daripada percambahan (hyperplasia) tisu payudara terutama sebelum kedatangan haid.

2. Jangkitan kuman

*Jangkitan kuman berlaku sama ada secara akut atau kronik. Jangkitan akut termasuklah bisul payudara dan mastitis. Jangkitan kronik yang biasa dikesan adalah Tibi payudara.

3. Ketumbuhan dalam payudara

*Ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

i. Benign – ketumbuhan ini membesar tetapi tidak merebak ke bahagian lain badan. Contohnya seperti penyakit Fibroadenoma, fat necrosis, granular cell myoblstoma.

ii. Malignant – ketumbuhan ini merebak dan membiak ke lain-lain bahagian badan dan sekiranya dibiarkan akan membawa maut.

Terdapat banyak jenis ketumbuhan dalam payudara tetapi kanser payudara adalah penyakit terunggul dalam golongan ini.

* Kanser payudara

Kanser payudara didefinasikan sebagai kedapatan ketumbuhan yang terbukti malignant di dalam payudara. Ini untuk mengasingkan kanser payudara dengan ketumbuhan lain yang kerap berlaku di dalam payudara.

*Punca

Seperti kebanyakan kanser, punca penyakit kanser payudara masih samar. Walau bagaimanapun, ia ada berhubung kait dengan hormon wanita dan warisan genetik. Mengikut rekod, wanita yang tidak mempunyai ovari, ovari yang tidak berfungsi atau wanita yang tidak menjalani rawatan Terapi Hormon Gantian (HRT) tidak mendapat kanser payudara. Walaupun 99 peratus kanser payudara berlaku di kalangan wanita, terdapat satu peratus kalangan lelaki yang menghidap kanser payudara.

Di negara Barat, purata 185,000 wanita mendapat kanser payudara setiap tahun. Dari bilangan ini 43,500 meninggal dunia setiap tahun akibat kanser berkenaan. Kemuncak kejadian berlakunya kanser payudara pula adalah kepada golongan dalam lingkungan umur 45 hingga 50 tahun dan 55 hingga 60 tahun.

Di Malaysia, keadaannya sedikit berbeza. Mengikut Daftar Kanser Negara, purata 4,000 wanita menghidap kanser payudara setiap tahun dan kadar ini turut menunjukkan peningkatan setiap tahun. Di dalam satu kajian pada tahun 2000, terdapat 3,825 wanita penghidap baru kanser payudara. Ia meningkat ke 4,337 pada 2002. Daripada bilangan ini, hampir 2,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat kanser tersebut.

Kanser payudara kerap berlaku di kalangan kaum Cina (59.7 peratus), diikuti India (55.8 peratus) dan Melayu (33.9 peratus) bagi setiap 100,000 penduduk negara ini. Daripada bilangan ini, insiden kematian akibat kanser payudara paling banyak berlaku di kalangan kaum Melayu (54 peratus) berbanding dengan Cina (37 peratus) dan India 43 peratus).

Ini mungkin disebabkan sebilangan wanita Melayu kurang menjalani ujian saringan (mammogram), kurang menjalankan pemeriksaan payudara sendiri di rumah dan hadir pada peringkat lewat kanser berkenaan untuk mendapatkan rawatan. Di Malaysia kanser payudara berlaku di kalangan mereka di bawah umur 50 tahun dan mencapai kemuncaknya di kalangan wanita pramenopaus. Walau bagaimanapun kanser payudara juga biasa berlaku di kalangan wanita berumur 20 tahun ke atas.

Tanda-tanda penyakit

*Ketulan atau biji – kebiasaannya pesakit kanser payudara datang apabila terasa ketulan atau biji di dalam payudara atau sekitar kawasan ketiak

*Perubahan bentuk dan rupa kulit payudara

*Cecair yang tidak biasa keluar, termasuk darah, keluar dari puting susu

*Kesakitan payudara (sekiranya kanser, ia adalah lewat)

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda seperti yang tersebut di atas, segeralah berjumpa pengamal perubatan untuk mendapatkan kepastian. Kebiasaannya doktor akan memeriksa payudara tersebut secara manual untuk memastikan adanya tanda-tanda penyakit. Seterusnya, beberapa pemeriksaan makmal atau imbasan juga akan dijalankan bagi memastikan jika ianya kanser atau bukan.

Pemeriksaan saringan

Imbasan

*X-ray mammografi – ini selalunya dilakukan untuk kanser tidak ketara

*Optical and doppler ultrasound, untuk membezakan ketulan biji air (cyst) atau pejal (daging)

*Diaphanography (transillumination payudara), bagi melihat ciri perbezaan dalam tisu payudara

*Thermography – mengukur suhu payudara (suhu selalu meningkat di kawasan kanser)

*Magnetic Resonance Imaging (MRI)

*Imbasan Radionuclide

Pemeriksaan makmal

1. Pemeriksaan darah – doktor akan menjalankan beberapa pemeriksaan darah secara rutin untuk mengkaji status organ dalaman.

Walaupun terdapat beberapa bahan kimia penanda untuk kanser di dalam darah (tumor markers), kepastian kegunaannya masih disangsikan.

2. Pemeriksaan sitologi. (Fine Aspiration Needle Biopsy). Ia dilakukan dengan mengambil sedikit contoh sel dari ketumbuhan untuk pemeriksaan mikroskop. Ini adalah cara terbaik untuk mendapatkan diagnosis tepat untuk kanser dan patut dilakukan ke atas setiap ketumbuhan dalam payudara.

Semua pemeriksaan yang dilakukan adalah untuk dua tujuan iaitu:

1. Mengenal pasti penyakit

2. Mengenal pasti peringkat penyebaran penyakit (staging)

Rawatan kanser payudara

Kejayaan sesuatu kaedah rawatan itu berdasarkan peringkat kanser pesakit ketika mula datang untuk mendapatkan rawatan. Peringkat 0,1 dan 2 adalah peringkat awal. Pesakit dalam peringkat-peringkat ini mempunyai peluang yang lebih besar untuk hidup lebih lama selepas kanser dikesan, berbanding peringkat 3 dan 4 yang dikira peringkat lanjutan yang agak lambat dikesan.

Cara rawatan kanser payudara telah berkembang dan hasilnya kini semakin memberangsangkan. Berdasar statistik, di negara maju 80 hingga 85 peratus pesakit kanser payudara dapat menjalani kehidupan biasa setelah menjalani rawatan, berbanding hanya 58 peratus di Malaysia.

Jangka hayat pesakit kanser payudara di kalangan bangsa Melayu adalah pendek (66 peratus) berbanding dengan kaum Cina (63 peratus) dan India (57 peratus). Ini disebabkan kebanyakan pesakit bangsa Melayu datang mendapatkan rawatan apabila kanser sudah di peringkat 3 atau 4.

Pada masa ini, terdapat tiga kaedah rawatan kanser payudara yang diterima umum. Rawatan ini selalu digandingkan antara satu sama lain untuk memberi kesan yang maksimum dalam membunuh sel kanser.

1. Pembedahan - dilakukan untuk membuang seberapa banyak tisu kanser dan juga memberi peluang untuk rawatan gandingan lebih berkesan. Pembedahan yang kini digunakan dalam dunia perubatan adalah:

a. Segmentectomy – sebahagian payudara bersama kanser dibuang. Ia selalu digandingkan dengan rawatan radiasi. Sesuai untuk kanser kecil kurang dari 5sm.

b. Mastectomy Penuh – sama ada berbentuk mastectomy mudah, mastectomy ubah suai atau mastectomy radikal. Ia berdasarkan berapa banyak tisu sekeliling kanser, termasuk nodus limfa di ketiak, dibuang bersama kesemua payudara tersebut.

2. Radiasi – ini selalunya dilakukan kepada payudara selepas pembedahan untuk memastikan pemusnahan semua sel kanser.

3. Ubatan – rawatan ubatan untuk kanser lebih berbentuk rawatan seperti kemoterapi dan terapi hormon.

Di negara maju keberkesanan rawatan merangkumi sehingga 80 hingga 85 peratus kerana kebanyakan pesakit menerima rawatan di peringkat awal. Setakat ini, belum ada bukti saintifik yang kukuh mengaitkan pemakanan bahan atau ubat tertentu dapat menghindar kanser payudara. Apa yang pasti, peningkatan tahap kesedaran dan menerima rawatan awal untuk kanser payudara dapat memberi harapan untuk kehidupan seperti biasa. Diharapkan kesedaran mengenai pentingnya pengesanan dan rawatan awal dapat diterapkan di kalangan wanita di Malaysia.

Penyakit Wanita : KANSER PAYU DARA

KANSER PAYU DARA

KEBANYAKAN wanita masa kini akan merasa gundah apabila mendapati di dalam payu dara mereka terdapat ketumbuhan. Ini memungkinkan mereka menghidap kanser payu dara.

Kanser payu dara adalah kanser paling kerap berlaku dan kanser paling biasa di kalangan semua wanita seawal umur 20 tahun di Malaysia bagi tahun 2002 dan 2003.

Kanser payu dara paling biasa berlaku di kalangan kaum Cina, kemudian kaum India dan kaum Melayu.

Kanser payu dara juga menyumbang kepada 31 peratus daripada jumlah kes kanser wanita pada tahun 2003 (30.4 peratus pada 2002).

Namun, bukan kesemua ketumbuhan di dalam payu dara merupakan kanser payu dara. Walhal hampir 80 hingga 90 peratus adalah ketumbuhan biasa yang bukan berbentuk kanser.

Walau bagaimanapun, oleh kerana kanser payu dara merupakan satu penyakit utama di kalangan masyarakat dunia yang mengakibatkan kesengsaraan dan kematian jutaan manusia, setiap ketumbuhan pada payu dara mesti dianggap kanser sehingga terbukti sebaliknya secara saintifik.

Untuk membezakan dengan tepat antara ketumbuhan biasa (benign tumour) dan kanser payu dara secara fizikal adalah sukar.

Hanya dengan membuat kajian sitologi (kajian sel) sahaja dapat kita memastikan sesuatu ketumbuhan itu kanser atau sebaliknya.

* Kaji penyakit

Hampir 80 hingga 90 peratus ketumbuhan dalam payu dara adalah ketumbuhan biasa yang bukan berbentuk kanser.

Ketumbuhan biasa (benign tumour) yang boleh berlaku di dalam payu dara termasuklah:

Fibroadenoma

* ketumbuhan ini kerap berlaku di kalangan wanita muda. Permukaan ketumbuhan ini licin dan mungkin berbonjol serta boleh bergerak sekeliling apabila ditekan dari luar.

Fibrocystic mastopathy

* ini biasanya berlaku di kalangan wanita berumur antara 30 hingga 50 tahun yang belum putus haid. Saiznya berbeza berdasarkan pusingan haid dan bertambah besar dan sakit apabila menghampiri haid. Berdasarkan sifat percambahan sel epitelium, ia berisiko berubah menjadi kanser.

Sista (Cyst)

* ketumbuhan ini adalah biji yang mengandungi air. Kebanyakan tidak merbahaya melainkan biji yang mengandungi darah.

Nekrosis lemak

* ketumbuhan ini berpunca daripada kecederaan pada payu dara yang menyebabkan sel lemak payu dara mati dan membentuk kumpulan biji yang keras. Agak sukar untuk membezakannya dari kanser melainkan dengan kajian sel histologi.

Bisul (breast abcess)

* selalunya tidak sukar untuk membezakan bisul dengan kanser. Tetapi “antibioma” iaitu keras yang terjadi apabila bisul dirawat secara konservatif, boleh menyukarkan perbezaan ini.

* Perbezaan

Seperti yang telah disebut tadi, untuk membezakan dengan tepat antara ketumbuhan biasa (benign tumour) dan kanser payu dara secara fizikal adalah sukar.

Walau bagaimanapun, beberapa petunjuk mungkin dapat memberikan gambaran kasar sama ada ketulan di payu dara itu berkemungkinan merbahaya.

Ia melibatkan risiko individu untuk kanser, sifat fizikal ketumbuhan, penand a aras tumor (tumour marker) dan genetik.

Semakin banyak petunjuk yang positif, semakin mirip ketumbuhan itu kepada ketumbuhan kanser.

* Risiko mendapat kanser payu dara

Seperti kebanyakan penyakit kanser, penyebab utama kanser payu dara masih belum diketahui tetapi dipercayai melibatkan faktor penyebab seperti faktor genetik dan faktor alam sekitar.

Banyak telah diperkatakan mengenai petunjuk bagi mereka yang berisiko untuk menghidap kanser payu dara. Ia tetap menjadi petunjuk semata-mata.

Ramai penghidap kanser payu dara tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser payu dara.

Walau apapun, petunjuk-petunjuk ini bertujuan membuat seseorang lebih berhati-hati dan peka dengan penyakit tersebut dan mendapatkan rawatan dengan segera.

Secara ringkasnya, mengetahui faktor risiko akan memutuskan sama ada individu perlu atau tidak melakukan pemeriksaan saringan.

Sekiranya individu tidak mempunyai faktor-faktor risiko, tidak bermakna individu selamat. Kanser payu dara tidak boleh dicegah dan strategi utama adalah pengesanan awal dan rawatan sebelum kanser itu merebak.

* Pemeriksaan payu dara

Pemeriksaan payu dara boleh dilakukan oleh pengamal perubatan atau individu itu sendiri. Tiada siapa yang lebih arif akan badan seseorang melainkan individu itu sendiri.

Adalah digalakkan setiap individu membuat pemeriksaan payu dara sendiri setiap bulan.

Bahagian ketiak patut juga diberi perhatian dengan urutan untuk memastikan ia normal dan tiada ketulan.

* Saiz ketumbuhan

Kebanyakan ketumbuhan yang bersaiz lebih daripada satu sentimeter dapat dirasai secara fizikal dengan pemeriksaan sendiri.

Kadang kala, kesukaran untuk merasai ketulan berlaku disebabkan tidak banyak perbezaan konsistensi antara ketulan dan tisu payu dara di sekelilingnya, atau kedudukannya yang terlalu dalam.

Kebiasaannya, saiz yang kurang dari satu sentimeter sukar untuk dirasa. Di dalam keadaan begini ujian ultrasound atau mammogram dapat membantu mengenalpasti kewujudan ketulan itu.

Penyakit Wanita : FIBROID

Apa itu fibroid?

Fibroid adalah ketumbuhan biasa atau benign (bukan kanser) yang terdapat di dalam uterus/rahim wanita yang berusia sekitar 30 hingga 40-an.

Ia merupakan salah satu ketumbuhan yang biasa terjadi kepada wanita semasa tahun-tahun kesuburan mereka.

Biarpun begitu ia boleh tumbuh di lain-lain organ yang mengandungi sel-sel otot licin. Fibroid adalah tumor pejal yang terjadi daripada tisu-tisu fiber di mana dari situlah ia mendapat namanya.

Lazimnya, fibroid tercetus sebagai ketumbuhan dan membesar secara perlahan-lahan, selalunya tanpa simptom.

Malah kedudukan fibroid yang boleh menyebabkan kemandulan ini, telah mencetuskan kontroversi.

Kenapa? Ketumbuhan ini merupakan penyebab utama bagi pembedahan histerektomi iaitu pembedahan mengeluarkan fibroid dan rahim.

* Tidak pernah mengandung

Dr. Salleh berkata, lazimnya mereka yang tidak pernah mengandung, gemuk, berkulit hitam, mempunyai risiko untuk mendapat fibroid.

``Bagaimanapun tiada sebab-sebab tertentu seseorang itu boleh mendapat fibroid. Hanya sekitar 25 peratus sahaja pesakit fibroid yang mengalami simptom-simptom.

``Ini termasuklah mereka yang mengalami pendarahan haid yang banyak, sakit sewaktu hubungan kelamin, kemandulan mahupun masalah dubur yang disebabkan oleh tekanan akibat daripada ketumbuhan fibroid ini,'' jelas beliau.

Bagi wanita mengandung pula, fibroid boleh menyebabkan komplikasi termasuk keguguran, sakit bersalin sebelum waktunya dan kesakitan akibat daripada infarksi yang berpunca daripada kekurangan bekalan darah atau menyebabkan kedudukan bayi tidak normal dan terpaksa menjalani pembedahan Caesarean semasa bersalin.

Biarpun amat jarang berlaku, fibroid boleh berubah keadaannya dengan menjadi malignan, apabila ia cukup besar mahupun membesar dengan cepatnya.

* Diagnosis

Lazimnya, diagnosis dilakukan dengan mengambil kira sejarah simptom-simptom seperti yang dijelaskan di atas, atau secara kebetulan apabila pesakit menjalani pemeriksaan faraj yang berkala seperti ujian pap smear.

``Bagi sesetengah wanita yang menjalani pemeriksaan kemandulan, fibroid boleh dilihat sewaktu menjalani imbasan ultrasound.

``Imbasan ultrasound adalah sangat penting memandangkan ia juga boleh membezakan di antara sis dan lain-lain tumor pelvik,'' kata Dr. Salleh.

Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di mana magnet-magnet berkuasa tinggi digunakan untuk melihat struktur tisu-tisu juga berguna walaupun ia adalah mahal.

Ia bermanfaat bagi membezakan di antara fibroid dengan adenomiosis iaitu satu keadaan yang berkaitan dengan endometriosis dan agak sukar untuk dirawat.

Katanya: ``Malah, ada yang datang berjumpa doktor setelah mendapati abdomen mereka semakin lama semakin membesar seperti mengandung. Selepas pemeriksaan dilakukan barulah diketahui wanita ini mengalami fibroid.''

* Jenis-jenis fibroid

Lokasi fibroid sering mempengaruhi tanda-tanda yang dialami dan pada sesetengah kes, rawatannya.

- Fibroid submukus terdapat di bawah lapisan uterus dan boleh menyebabkan masalah haid termasuk kesakitan apabila ia membesar.

- Fibroid intramural adalah fibroid bulat yang terdapat di dalam dinding uterus yang boleh menyebabkan pembesaran uterus.

- Fibroid subserous tumbuh di luar dinding uterus dan selalunya tidak menyebabkan sebarang tanda-tanda sehinggalah ia membesar dan mengganggu organ-organ lain.

- Fibroid pedunkel berbentuk gagang tercetus apabila fibroid subserous mengeluarkan tangkai atau pedunkel, membesar serta membengkok dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat.

- Fibroid submukus dan intramural lebih banyak mengundang kesakitan semasa haid dan mendatangkan masalah seperti keguguran. Sementara itu, subserous dan pedunkel pula boleh menyebabkan masalah kemampatan dan kesakitan terutamanya semasa kehamilan.

- Fibroid interliganmentous tumbuh di sisi di antara ligamen yang menyokong uterus di dalam abdomen dan adalah sukar untuk mengeluarkannya yang berkemungkinan menjejaskan bekalan darah.

- Fibroid parasitik, paling jarang berlaku di mana fibroid melekat pada organ lain.

* Waktu sesuai merawat fibroid

``Fibroid perlu dirawat sekiranya ia mula menunjukkan tanda-tanda seperti yang dijelaskan tadi.

``Ia juga difikirkan sesuai, bagi sesetengah kes apabila seseorang wanita ingin hamil dan pandangan perubatan berbelah bahagi sama ada fibroid perlu dirawat atau mencari peluang mengandung,'' kata Dr. Salleh.

Kadangkala, haid yang terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang wanita itu mendapat anemia.

Pun begitu, katanya, kebanyakan doktor bersetuju biarpun tiada simptom-simptom, fibroid pedunkel agak jarang mencetuskan masalah besar bagi wanita hamil.

Bagaimanapun bagi fibroid submukus, ia berkemungkinan menyebabkan wanita lambat hamil serta mengakibatkan wanita hamil mengalami keguguran.

Keputusan untuk merawat atau tidak sebenarnya bergantung kepada usia wanita itu sendiri, saiz fibroid, pernah keguguran dan sama ada rahim menjadi herot kerana kewujudan fibroid itu.

Dr. Salleh menambah, usia adalah faktor penting kerana fibroid akan membesar di bawah pengaruh estrogen dan fibroid juga mudah dikeluarkan di kalangan wanita muda dan ketika fibroid masih kecil lagi.

Bagi wanita yang berusia, mereka perlu berjaga-jaga apabila membuat keputusan untuk melengahkan pembedahan.

``Bagaimanapun, wanita yang telah menjalani pembedahan mengeluarkan fibroid perlu mengambil masa sebelum mengandung. Pakar akan menasihati masa yang sesuai mengikut keadaan pesakit,'' ujarnya lagi.

* Rawatan fibroid

Rawatan fibroid bergantung kepada saiz dan kedudukan fibroid itu.

- Rawatan hormon; terapi hormon sangat berguna kepada wanita yang hampir menopaus dan bercadang untuk mengelak pembedahan. Bagaimanapun terapi ini tidak banyak memberi manfaat kepada wanita yang bercadang untuk hamil.

- Reseksi histeroskopi; lazimnya dilakukan ke atas fibroid submukus asalkan fibroid itu berukuran kurang daripada l0 sentimeter garis pusat. Beberapa proses dilakukan sebelum pembedahan dapat dilakukan.

Pembedahan membuang fibroid ini menggunakan sejenis alat berupa wayar khas bersama histeroskop yang dimasukkan ke dalam uterus melalui serviks/pangkal rahim.

- Pembedahan laparoskopi atau miomektomi laparoskopi pula adalah pembedahan bagi mengeluarkan fibroid.

Intramural dan subserous boleh dikeluarkan melalui pembedahan ini melalui dua insisi/pemotongan 10 milimeter panjang, satu di bahagian pusat dan satu lagi di garisan abdomen.

Hanya segelintir sahaja pakar yang mengambil pilihan ini kerana ia mengambil masa yang lama dan cukup mencabar.

- Miomektomi terbuka, pembedahan konvensional yang dilakukan melalui insisi di bahagian bawah, memanjang atau menegak di bahagian garisan bikini (antara ari-ari dan abdomen). Otot-otot uterus dibedah dan fibroid dikeluarkan.

Doktor biasanya akan mengesyorkan wanita yang hamil selepas pembedahan ini untuk menjalani pembedahan Caesarean apabila sampai masanya untuk bersalin.

- Histerektomi bergantung kepada usia, bilangan anak, masalah kesihatan wanita serta lain-lain faktor.

Wanita yang menjalani histerektomi tidak akan mempunyai haid lagi kerana rahimnya sudah dikeluarkan sekali bersama fibroid.

* Nasihat pakar

Dr. Salleh menegaskan, bagi wanita yang menopaus, mereka perlu mendapat rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda menopaus yang teruk.

Dalam hal ini, suami perlu memberi sokongan yang sewajarnya untuk isteri dalam meneruskan kehidupan seharian termasuk dalam hubungan suami isteri.

Beliau juga menekankan, wanita perlu menjalani ujian pap smear secara berkala untuk mengesan kanser servik dan fibroid. Fibroid yang aktif dan cepat membesar juga berbahaya bagi wanita.

Wanita yang melalui pembedahan perlu mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan yang ideal serta melakukan senaman yang bersesuaian apabila mereka sudah pulih sepenuhnya. Jumpalah doktor untuk nasihat selanjutnya.

17 July 2011

Contoh Artikel Untuk AA201

6 Seni Memuji Isteri

Wanita memang suka dipuji, tapi hairannya biar mengetahui perkara ini ramai lelaki tidak mengendahkannya. Tak mustahil pujian terakhir yang didengar dari seorang isteri dari mulut suami adalah mereka dalam fasa bercinta.

Memasuki alam rumah tangga, kata-kata manis memuji isteri sudah tidak lagi kedengaran. Malah ada isteri yang kempunan untuk mendengarnya dari mulut suami. Pujian yang didengar apatah lagi dari mulut suami sangat bermakna buat seorang wanita. Ia satu bentuk penghargaan yang boleh meningkatkan motivasi.

Tahukah para suami bahawa dengan hanya memuji hidangan yang disediakan isteri enak, hati wanita akan berbunga dan akan bersemangat untuk terus menyediakan menu yang lebih lazat untuk suami tercinta.

Panduan Memuji
Memberi pujian memang cukup mudah sekali tapi, ada juga lelaki yang terjebak dengan masalah gara-gara silap memberi pujian. Sememangnya memuji wanita itu ada aturannya, jadi bagi suami yang belum mengetahuinya, eloklah membaca panduan di bawah ini.

1. Memuji Tanpa Ada Udang Di Sebalik Batu
Ada suami yang meluahkan pujian bila mahukan sesuatu daripada isterinya. Malah ada juga yang hanya memuji isteri tatkala berkehendakkan layanan batin di malam hari. Sebenarnya jangan terlalu kerap memberi pujian yang berbau erotis kerana tak mustahil isteri beranggapan bahawa suami menganggap dirinya sebagai objek pemuas seks saja.

2. Dalam Bentuk Kalimat
Luahan pujian selain secara lisan adalah dalam bentuk bahasa tubuh seperti sentuhan. Tak kurang juga hanya dengan cara pandangan dan siulan. Tapi lelaki yang memuji dengan cara ini, menunjukkan mereka tidak kreatif. Wanita yang dipuji juga boleh berasa kurang selesa. Pujian yang lebih tepat adalah melalui kata-kata. Tatap mata isteri dan luahkan kata-kata manis buat dirinya. Cara ini lebih berkesan malah hingga menusuk ke jiwa.

4. Tidak Berlebih-lebihan
Walau wanita itu senang dan suka bila dipuji, tetapi kalau pujian itu ‘over’ ia boleh membuatkan dirinya tidak selesa. Lebih-lebih lagi jika seseorang wanita itu bersifat amat pemalu. Pujian berlebihan terutama sekali di hadapan rakan atau ahli keluarga akan membuatkan dirinya jadi serba tak kena.

Sebaiknya pujilah isteri pada perkara yang patut dipuji. Misalnya jika isteri pandai merias rumah, katakan bahawa dirinya punya bakat terpendam dalam seni hiasan dalaman, begitu juga kalau isteri pandai bergaya, kata bahawa dirinya pandai mengikuti fesyen semasa.

5. Ikhlas
Pujian yang diberikan oleh seorang suami tentunya lebih bermakna jika ia adalah ikhlas dari hati. Bukan kerana mahu menampilkan diri adalah seorang suami yang ramah, atau mengharapkan pujian balik.

6. Belajarlah
Akhir sekali seni memuji isteri ini bukan datang begitu saja. Anda perlu belajar memuji barulah skil itu kelihatan seperti semula jadi. Oleh itu selalulah memuji isteri, bukan itu saja puji juga ahli keluarga dan majikan anda kerana tiada ruginya tindakan yang anda tahu memberi kegembiraan pada seseorang.

Perkara Kecil Namun Bermakna Buat Wanita
Perkara yang bermakna buat wanita bukanlah dengan hanya memberikan mereka hadiah yang mahal seperti kereta, emas berlian mahupun rumah yang cantik. Sebenarnya perkara-perkara kecil yang dilakukan oleh suami boleh saja memberi kesan yang besar dan bermakna buat diri mereka. Tindakan-tindakan yang mudah ini boleh membuatkan isteri rasa benar-benar dicintai dan disayangi.

1. Pujian Meskipun Tanpa Solekan
Ketika baru bangun dari tidur, suami memuji kecantikan. Tentunya perkara ini datang dari keikhlasan hati. Malah pujian sebegini memberi mood dan membuat dirinya ceria sepanjang hari.

2. Mendengarkan Keluhan
Setelah sepanjang hari bekerja, wanita selalunya mahu meluahkan apa yang dilalui. Ketika suami mendengar luahan ini tanpa menghakimi, isteri akan berasa lega dan merasai dirinya punya pasangan yang cukup memahami.

3. Bantuan Tanpa Dipinta
Ketika isteri sedang membawa barang berat, suami pantas membantu tanpa perlu diminta. Begitu juga tindakan suami membantu kerja-kerja rumah tatkala melihat isteri kepenatan. Ini memberi petanda bahawa suami begitu prihatin tentang dirinya.

4. Memikirkan Hal-hal Kecil
Ketika gula atau kopi di rumah sudah habis, tanpa diminta si dia sudah membelikannya untuk anda. Ketika suami mengingati perkara-perkara yang dilupai isteri, suami akan makin dicintai.

5. Membuatkan Teh
Suami memang suka bila isteri melayani makan dan minumnya. Tapi jika sesekali suami pula berbuat demikian pada isteri, tentunya isteri rasa gembira dan bahagia sekali. Dijamin isteri akan tersenyum sepanjang hari.

[petikan Majalah WANITA]