ADA APA DENGAN SHISHA?
Tembakau, nikotin, tar, karbon monoksida, karsinogen, arsenik, kromium dan plumbum hanyalah secebis daripada cebisan kisah si pembunuh ‘suci’ ini. Suci kerana telah ‘disucikan!’ Kononnya.
Interaksi antara bahan-bahan yang berisiko tinggi, ‘disucikan’ dengan lapisan air dan diadun dengan bahan perisa yang mengasyikkan, maka jadilah shisha seperti yang kita kenali pada hari ini.
Shisha.
Shisha berasal dari India, sekitar abad ke-16 Masihi, sewaktu pemerintahan Empayar Islam Mughal berikutan pengenalan tembakau oleh para pedagang Eropah. Hakim Abu’l Fath Gilani, seorang ahli fizik berasal dari Gilan, iaitu sebuah wilayah di utara Iran, yang berhijrah ke India, menyedari akan kegilaan baru di kalangan golongan elit Mughal, iaitu menghisap tembakau, telah mereka cipta satu alat yang membolehkan asap tembakau melepasi air bagi tujuan ‘menyucikannya’.
Melalui Asad Beg, iaitu Duta Bijapur, ia diperkenalkan kepada Maharaja Akbar yang memerintah ketika itu. Ekoran itu, shisha menjadi popular di kalangan golongan elit India sebelum merebak ke Asia Tengah dan seluruh dunia.
KELENGKAPAN DAN PENYEDIAAN
Dalam sebuah shisha terdapat lima komponen penting – kepala, batang paip, balang air, hos dan muncung paip. Langkah penyediaannya pula cukup begitu mudah. Hanya masukkan tembakau yang diperam dengan ekstrak buah-buahan yang berperisa (epal, vanilla, nanas, strawberi, dll dsb) ke dalam bahagian kepala shisha dan diletakkan arang di atasnya. Tembakau dan arang selalunya dipisahkan dengan kepingan aluminium di antara kedua-duanya.
Apabila arang dipanaskan, lubang yang terdapat di bahagian bawah kepala shisha akan membenarkan asap yang terhasil menuruni batang paip dan terus masuk ke dalam balang air yang separuh terisi air. Gelembung-gelembung udara kemudian terhasil dan asap dibawa bersama-sama wap air melalui hos terus ke muncung paip.
Konsep sebegitu mudah, tapi sejauh manakah keberkesanannya?
Mari kita lihat satu persatu.
KARBON MONOKSIDA
Karbon monoksida. Malang yang tidak berbau, tidak berwarna, tidak berasa, juga tidak merengsakan.
Karbon monoksida dalam darah seseorang yang tidak merokok berkisar kurang dari 1%, perokok pasif mempunyai kadar karbon monoksida dalam darah berkisar antara 2-4% dan untuk perokok berat, kadar karbon monoksida dalam darah boleh mencapai 5-7%. Sementara menurut hasil penelitian, para penghisap shisha mempunyai kadar karbon monoksida dalam darah mencapai 8-12%.
Keracunan karbon monoksida mampu menjejas sistem pengangkutan oksigen dengan begitu berkesan sekali. Kekurangan bekalan oksigen seterusnya menyebabkan tergendalanya sistem saraf sentral, lantas sakit kepala, kepeningan menyusul.
Vertigo, konfusi, halusinasi, delirium, amnesia – kesemuanya menanti dalam senarai komplikasi keracunan karbon monoksida.
NIKOTIN DAN TAR
Nikotin, walaupun berperatusan kecil, tetapi kebiasaannya para penghisap shisha menyedut asap shisha dalam kuantiti yang banyak menyebabkan kuantiti nikotin yang disedut, turut meningkat!
Setiap sesi menghisap shisha biasanya berlangsung selama 40 minit dan mengandungi antara 50 – 200 sedutan. Setiap sedutan pula mengandungi 0.15 – 0.50 liter asap. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan American Cancer Society telah menunjukkan bahawa, sepanjang kira-kira 1 jam sesi shisha, pengguna menyedut 100 – 200 kali asap dan kira-kira 70% lebih nikotin berbanding dengan sekali merokok.
Sudah tentulah tembakau tidak mengandungi tar, kerana ia tidak diperbuat daripada tar, sebaliknya, ia menghasilkan tar! Dengan kata lain, tar adalah bahan hitam legap dan berminyak yang terhasil daripada pembakaran kayu, arang atau tembakau.
Bahan inilah yang menyelaputi paru-paru dan menyumbat sel-sel pernafasan seterusnya menyebabkan kanser paru-paru. Kajian menunjukkan bahawa penggemar shisha 5 kali ganda lebih berisiko untuk menghidap kanser paru-paru berbanding orang yang tidak merokok.
LOGAM BERAT
Asap shisha juga mengandungi logam-logam berat yang tidak dapat ditapis sepenuhnya oleh lapisan air. Plumbum contohnya, berupaya mempengaruhi sistem saraf sentral dan menimbulkan tanda-tanda kronik keracunan, termasuklah sakit kepala, kehilangan selera makan, anemia, kelesuan serta insomnia.
KARSINOGEN
Selain itu, karsinogen yang terbebas di dalam asap shisha boleh menyebabkan kanser. Kajian yang dilakukan di Yaman menunjukkan risiko kanser esofagus dan gastrik meningkat di kalangan penghisap shisha berbanding orang yang tidak merokok. Ia juga meninggikan risiko mendapat kanser paru-paru sebanyak dua kali ganda dan berkadar terus dengan kekerapan penggunaannya. Kanser mulut juga telah dilaporkan dialami oleh penghisap shisha di Mesir.
JANGKITAN VIRUS DAN BAKTERIA
Di Mesir, penyakit tuberkulosis menjadi suatu kebiasaan di semua hospital disebabkan perkongsian muncung paip shisha yang mendedahkan para penghisap shisha kepada bahaya jangkitan penyakit yang merebak melalui air liur.
Aspergillosis juga telah dilaporkan mampu berjangkit di kalangan penghisap shisha yang bercampur marijuana. Patogen-patogen lain yang boleh merebak melalui perkongsian muncung paip shisha termasuklah Hepatitis C, Herpes simplex virus (HSV), Epstein-Barr virus (EBV), respiratory syncytial virus (RSV) dan Human immunodeficient virus (HIV).
Jelas sudah bahawa filter air yang berfungsi di dalam shisha tidak dapat menapis sepenuhnya bahan-bahan toksik dan karsinogen yang membahayakan kesihatan, bahkan penggunaannya juga meningkatkan kandungan toksin dalam badan dan risiko jangkitan penyakit yang merbahaya.
HUKUM BERHUBUNG SHISHA
Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, bekas mufti Arab Saudi, ketika menjawab soalan berhubung hukum menghisap shisha menjelaskan seperti berikut:
KESIMPULAN
Daripada Nu’man bin Basyir bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itupun jelas dan di antara keduanya ada perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa memelihara dirinya daripada segala yang shubhat, maka sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhat seperti pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir dia terjerumus ke dalamnya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
PAUTAN
http://www.who.int/tobacco/global_interaction/tobreg/Waterpipe%20recommendation_Final.pdf
www.ash.org.uk/files/documents/ASH_134.pdf
http://muslimmatters.org/wp-content/uploads/2008/03/hookah-smoking-haram.pdf
http://bicara4negara.wordpress.com/2007/03/26/syisya-satu-kajian/
-----------
Credit to : http://psipum.org/shisha-fakta-dan-fatwa/
No comments:
Post a Comment