30 March 2012

Disaat bapak bermadah kepada anak-anaknya..

Hargailah nikmah COUPLE .. kerana anda telah punyai seseorang dan bangga untuk mengaku dimiliki..
Hargailah nikmat CINTA .. kerana anda bertuah kerana memilikinya..
Hargailah nikmat RINDU.. kerana mungkin saat ini hanya anda yang mampu menzahirkannya..
Hargailah nikmat CLASH.. kerana anda bertuah kerana ditakdirkan melaluinya saat ini..
Hati-hatilah dengan NAFSU.. kerana asyik dengan COUPLE, CINTA dan RINDU, anda mungkin akan alpa untuk mengawalnya..

Hargailah nikmat ISLAM.. kerananya anda masih tidak rebah disaat CLASH, tidak terlanjur disaat melayari CINTA, tidak memandang enteng adab  berCOUPLE, tidak keterlaluan dalam meluahkan RINDU.. tidak lalai dari mengingati pemilik COUPLE (Yang mencampakkan naluri untuk berpasangan), CINTA, RINDU dan CLASH (yang memberikan ujian untuk menguatkan keimananan kita)

Dedicated to all my beloved “anak bapak”..

29 March 2012

TIPS KEPADA PENDAKWAH [Da'ie] MASA KINI

Nota tazkirah UST AZHAR IDRUS dan perjumpaan dengan Muslimat (25.3.2012, Ahad) di Kg. Pandan KL.

1) kita yang bertudung (atau bernikab) ni berkawanlah orang yang tidak pakai tudung lansung itu. Terutama yang berambut merah itu.

2) bila berjumpa mereka itu bersangka baiklah. Untungnya kita dapat berkawan dan berdakwah kepadanya. 

3) jangan tegur/bercakap/bermesra dengan dia semata-mata… tapi dapatkanlah no hp dia tu. 

4) biar berbulan2 tapi jangan di tegur pasal dia tidak pakai tudung itu, ke dia. atau suaminya yang pakai rantai itu. orang jahat jangan kata dia jahat. Tapi katalah ada orang lain lagi yang lebih jahat dari dia.

5) niat kita biar ikhlas untuk berdakwah kerana Allah.

6) berkawan baiklah dengan dia selepas itu secara hp, (melawat fb dia) dsb. Biar sampai mesra dsb dulu. Lama-lama bila dia sudah mesra dengan kita. Kalau kita cakap apa2 pun dia akan ikut. Kita suruh pakai tudung, masa itu barulah dia akan ikut.

7) Allah tidak tanya berapa orang dah kita sudah berjaya berdakwah. Tapi Allah tanya mung dakwah ke tidak.

8) jadi kita jangan bekeng (garang), jangan mudah melatah, sabar adalah kunci yang paling besar dalam gerakan dakwah.

9) contohnya saya sendiri (UAI) kena kutuk dalam video oleh lebih 30 video klip oleh seorang ustaz yang sama dan beberapa kawan kepada ustaz tersebut.

10) tapi saya sabar. Tidak pernah pun comment apa-apa pada klip video tersebut. Biarkan sahaja. Sbb bila kita comment itu tandanya kita takut. Biarkan sahaja. Tapi kasihan pula kepada dia sebab teruk dia kena pakoh (kutuk) orang yang tidak sukakan dia. 

11) apa yang dia orang hendak kata kepada kita itu biarkan sahaja. Kita sabar sahajalah. 

12) pesanan saya (UAI) kalau yang tidak betul itu kita biarkan sahaja. Kalau kita yang salah kita perbetulkan diri kita.

13) nasihat saya (UAI) lagi, jangan kita asik copy paste ilmu Allah kat dalam internet ini ke dalam fb dsb. Jangan kita berasa pandai. Sebab nanti syaitan akan cucuk kita pula. Bila asik copy paste, kita akan rasa bangga diri, riak dsb. 

14) nanti bila kita post jawapan dari pertanyaan orang kita akan rasa lain. Bangga diri, rasa hebat dsb. Jadi berhati-hatilah mainan syaitan ini.

15) dia (syaitan) akan kata.. ohh mung naik dah satu takok (satu tangga) lagi.

16) ini tidak baru belajar ilmu dalam3 bulan sudah rasa hebat. Dulu ulamak belajar bertahun-tahun untuk pandai. Kita tidak. Main internet sahaja dah rasa pandai.

17) sedangkan satu kitab arab pun tidak ada dirumah. 

18) dulu saya (UAI) belajar 12 kitab sehari.

19) saya dulu belajar dengan seorang budak 10 tahun sahaja (masa itu umur UAI dalam 26 tahun kut). Tapi budak-budak pun jangan buat main. Ilmunya banyak di dada. 

20) sama juga cucu dengan Tok ki. Kalau tok ki tidak ada ilmu, tok ki duduk belakang jadi makmun. Cucu 10 tahun jadi iman.

21) sekarang ini Tok Guru saya itu sudah buka sebuah sekolah pondok dekat Paka, Kemaman, Trg.

22) dulu kita ini sangat hormat pada Tok Guru kita. Kalau kita pergi mengaji kitab. Tok Guru susah sampai (sedangkan suiz kipas itu ada atas kepala Tok Guru) maka kita tidak buka dah suiz kipas itu. Walau pun panas terik pada jam 10pg – 12 tgh itu.

23) jadi harap-harapnya selepas ini, dapatlah lagi kita dapat buat program ini di masa hadapan ya.


[ Kredit to : Khalifah Hijau ]

26 March 2012

Istilah Makanan Yang Berkaitan Dengan Babi..

Istilah Makanan Yang Berkaitan Dengan Babi..

Mungkin banyak umat Islam tidak tahu bahwa label label yang bertulis 'This product contain substance from porcine.Sebenarnya bermaksud 'Produk ini mengandungi bahan daripada babi. Selain itu, antara label yang kerap digunakan adalah 'The source of gelatin capsule is porcine' yang bermaksud 'Kapsul dari gelatin babi. 

Berikut antara istilah sains yang digunakan dalam produk yang mengandungi unsur babi: 

1. Pork:Istilah yang digunakan untuk daging babi di dalam masakan. 

2. Swine:Istilah yang digunakan untuk keseluruhan kumpulan spesis babi. 

3. Hog:Istilah untuk babi dewasa, berat melebihi 50 kg. 

4. Boar:Babi liar. 

5. Lard:Lemak babi yang digunakan bagi membuat minyak masak dan sabun.

6. Bacon:Daging haiwan yang disalai, termasuk babi.

7. Ham:Daging pada bahagian paha babi.

8. Sow:Istilah untuk babi betina dewasa (jarang digunakan).

9. Sow Milk:Susu babi.

10.Pig:Istilah umum untuk seekor babi atau sebenarnya bermaksud babi muda, berat kurang daripada 50 kg. 

11.Porcine:Istilah yang digunakan untuk sesuatu yang berkaitan atau berasal daripada babi. Porcine sering digunakan di dalam bidang perubatan untuk menyatakan sumber yang berasal daripada babi. 

Sebarkan kepada semua saudara-saudara kita agar lebih berhati-hati..Moga Allah Suhana Wa Taala akan membalas jasa baik anda dan semoga Allah memelihara kita di dunia dan di akhirat. 



[ Credit to : Para Pecinta Habaib dan Ulama ]

11 March 2012

Cara Wudhuk Pesakit Kaki SIMEN

Cara Wudhu Pesakit Yang Memerlukan Penyaluran Air Ke Dalam Tubuh Badan (Drip) Melalui Tangannya

Soalan:
Seorang pesakit yang menerima rawatan doktor memerlukan penyaluran air ke dalam tubuh badan (drip) secara berterusan semasa berada di Tanah Suci. Walaupun pesakit telah sihat, pihak perubatan/doktor masih mengekalkan jarum dn plaster yang melekat pada tangan si pesakit sebagai kemudahan pihak perubatan memberikan rawatan segera andaikata penyakit yang dihidapi berulang. Dalam keadaan tersebut si pesakit berkemampuan untuk menunaikan ibadat seperti sembahyang dan sebagainya.
Jawapan:
الحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ مُسْتَمِدًّا مِنْهُ التَّوْفِيْقِ لِلصَّوَابِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ سَيِّدِ الْمُرْسَلِيْنَ وَاْلآلِ وَاْلأَصْحَابِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانً إِلَى يَوْمِ الْمَآبِ، أَمَّا بَعْدُ
Pesakit yang memerlukan penyaluran air ke dalam tubuh badan (drip) melalui tangannya boleh dikategorikan sebagai anggota yang berbalut yang dikenali juga dengan istilah al-jabirah.

Wudhu Orang Yang Berbalut Atau Berplaster Anggota Wudhunya
Sekiranya anggota seorang yang sakit itu perlu dibalut dengan sesuatu seperti kain, plaster, simen atau seumpamanya dan jika dibuka balutan tersebut ditakuti akan memudharatkannya, maka dalam hal ini wajib dia melakukan tiga perkara jika dia hendak mengangkat hadas kecil (berwudhu) iaitu:
1. Membasuh bahagian anggota yang tidak berbalut atau berplaster, termasuklah juga sebelah bawah di bahagian-bahagian tepi balutan jika terdaya melakukannya dan juga anggota-anggota wudhu yang lain.

2. Menyapu semua balutan yang membalut bahagian anggota wudhu dengan air sebagai ganti perbuatan membasuh bahagian anggota yang tidak sakit (sihat) yang ditutupi oleh pembalut.

Jika sekiranya pembalut atau plaster tersebut tidak menutupi kecuali pada bahagian yang sakit sahaja, maka tidaklah wajib ianya disapu. Begitu juga, jika sekiranya dia berdaya membasuh bahagian yang tidak sakit yang ditutupi oleh pembalut atau plaster, maka tidaklah wajib menyapu balutan tersebut dengan air.

Waktu menyapu balutan atau plaster tersebut ialah apabila tiba masa membasuh anggota yang berbalut atau berplaster (dengan benar-benar mengikut tertib wudhu), kerana tertib adalah di antara rukun wudhu dalam mazhab Syafi’e. Contohnya, jika terdapat luka yang berbalut pada tangan, maka hendaklah dia membasuh muka terlebih dahulu, kemudian membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut dan selepas itu barulah menyapu balutan yang ada pada tangan itu sebelum menyapu kepala dan setersnya membasuh kaki.

3. Bertayammum pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sebagai ganti membasuh anggota wudhu yang berbalut yang tidak boleh terkena air.

Demi memelihara tertib, waktu bertayammum itu ialah apabila tiba masa membasuh anggota wudhu yang berbalut sama ada sebelum atau selepas dia membasuh dan menyapu anggota wudhu yang berbalut, tetapi yang lebih utama dia bertayammum dahulu sebelum membasuh dan menyapu anggota wudhu yang berbalut untuk menghilangkan kesan debu tanah. Ini beerti jika anggota wudhu yang berplaster itu pada muka, maka hendaklah dia bertayammum, kemudian membasuh dan menyapu anggota yang berbalut itu terlebih dahulu sebelum dia membasuh dua tangan. Ataupun jika anggota wudhu yang berplaster itu pada tangan, maka hendaklah dia bertayammum, membasuh dan menyapunya terlebih dahulu sebelum dia menyapu kepala dan begitulah seterusnya.

Apabila terdapat dua anggota wudhu yang berbalut maka diwajibkan juga dua tayammum, jika tiga anggota wudhu yang berbalut maka diowajibkan juga tiga tayammm, dan jika empat anggota wudhu yang berbalut maka diwajibkan juga empat tayammum iaitu jika balutan itu tidak meliputi keseluruhan anggota wudhu, di mana hanya bahagian-bahagian yang tertu dari anggota wudhu sahaja yang berbalut kecuali kepala. Umpanya, hanya separuh muka dan separuh tangan sahaja yang sakit, maka wajib dua tayammum. Atau separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, maka wajib tiga tayammum. Ataupun separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, akan tetapi seluruh kapala terkena penyakit, maka dalam hal ini wajib empat tayammum.

Apabila seseorang itu telah melakukan tiga perkara tersebut, maka dibolehkan baginya mengerjakan hanya satu sembahyang fardhu atau satu tawaf sahaja. Jika dia ingin mengerjakan satu sembahyang fardhu yang lain atau satu tawaf fardhu yang lain sedangkan wudhu dan tayammumnya yang terdahulu itu belum terbatal, maka tidak perlu membasuh anggota wudhu dan menyapu balutannya sekali lagi, kerana dia masih kekal di dalam suci. Cuma dia hanya wajib bertayammum sahaja kerana satu tayammum hanya terbatas kepada satu ibadat fardhu sahaja. Menurut Imam ar- Ramli Rahimahullah, adalah memadai melakukan satu tayammum sahaja sekalipun pada asalnya dia dituntut melakukan beberapa kali tayammum kerana terdapat dua tau lebih anggota wudhu yang berbalut/berplaster. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullah pula, hendaklah dia bertayammum sebanyak mana dia dituntut melakukan tayammum pada asalnya. Tetapi jika dia berhadas, maka hendaklah dia mengulangi tiga perkara yang tersebut di atas.
Oleh kerana anggota yang berbalut/berplaster itu adalah tangan yang merupakan anggota wudhu, maka terdapat kekurangan pada wudhu, kerana tangan tidak dapat dibasuh dengan sepenuhnya disebabkan balutan/plaster yang menutupinya. Tambahan lagi tangan yang berbalut/berplaster itu juga adalah merupakan anggota tayammum, maka terdapat juga kekurangan pada tayammum. Ini bererti pengganti (tayammum) itu kurang dan yang kena ganti (wudhu) itu pun kurang. Oleh itu, orang yang mengangkat hadas kecil (berwudhu) dengan cara demikian, ada yang dikehendaki mengulang atau mengqhada sembahyang fardhu atau tawaf fardhu yang dikerjakannya selama dia memakai balutan atau plaster tersebut apabila dia sudah sembuh. Mereka yang dikehendaki mengulangi atau mengqadha itu adalah di dalam tiga keadaan berikut:
1. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sama ada diletakkan pembalut ataupun plaster itu ketika dia dalam keadaan suci daripada hadas ataupun tidak dan sama ada pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit ataupun tidak.

2. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki, tetapi balutan atau plaster itu dipakai ketika dalam keadaan berhadas dan pembalut atau plaster itu menutupi bahagian yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut itu.

3. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadas, akan tetapi pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit melebihi had yang diperlukan untuk mengikat pembalut.

Manakala orang yangtidak dikehendaki mengulang atau mengqadha sembahyang fardhu atau tawaf fardhu yang dilakukannya itu adalah di dalam dua keadaan berikut:
1. Balutan atau palster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau palster itu pula tidak menutupi anggota yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster, sama ada diletakkan balutan atau plaster itu ketika suci daripada hadas ataupun ketika berhadas.

2. Balutan atau palster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau palster itu menutupi bahagian yang tidak sakit hanya sekadar bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster serta diletakkan atau dipakai balutan atau plaster itu ketika dalam suci (tidak berhadas). (Al-Majmu’: 2/369-374 dan Fath al-‘Allam: 1/455, 457-460).

Praktikal satu persatu wudhu orang yang berbalut/berplaster anggota wudhunya di tangan:
1. Apabila dia hendak mengambil wudhu, pertama sekali hendaklah dia mengambil wudhu seperti biasa iaitu dimulakan dengan membasuh muka disertakan dengan niat.

2. Selepas membasuh muka disusuli dengan membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, kemudian menyapu bahagian tangan yang berbalut tau berplaster dengan air.

3. Selepas itu bertayammum dengan debu tanah, iaitu dengan meletakka atau menepuk kedua tapak tangan dalam keadaan kering di atas debu, kemudian memindahkan debu ke muka sambil berniat, lalu menyapu muka. Selepas itu, letakkan atau tepuk kedua tapak tangan di atas debu sekali lagi, kemidian memindahkan debu tersebut ke tangan, lalu menyapu kedua tangan hingga ke siku.


4. Ataupun boleh juga dilakukan, selepas membasuh muka disusuli dengan bertayammum sebagai ganti membasuh tangan yang berbalut atau berplaster dan hendaklah tangan itu kering, kemudian diikuti membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, seterusnya menyapu bahagian tangan yang berbalut atau berplaster dengan air.

5. Kemudian menyapu kepala, dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki serta dua buku lali.

Pandangan Mazhab Maliki

Menurut Mazhab Maliki, bahawa orang yang menghidap penyakit kulit umpamanya, ataupun jika pada salah satu anggota yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhu atau mandi hadas, sama ada anggota tersebut dibalut dengan sesuatu seperti plaster, simen, ataupun ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu dan membasuh anggota tboleh memudharatkan atau menyebabkan terasa sakit, maka dalam hal ini apa yang perlu dulakukannya ketika mengakat hadas ialah:

1. Jika anggota berkenaan dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu semua balutan atau plaster itu dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.

2. Jika anggota berkenaan ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu dengan air sekiranya tidak memudharatkan. Jika ditakuti memudharatkan, maka bolehlah dibalut luka yang berubat itu dengan kain yang bersih umpamanya, kemudian menyapu balutan tersebut dengan air, disamping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.

Adapun hukum sembahyang yang dikerjakan selama seseorang itu memakai plaster atau pembalut, dengan sebab takut memudharatkan jika ditinggalkan, tidaklah perlu diulang atau diqhada sembahyangnya itu. (Al-Qawanin al-Fiqhiyyah: 38)
Sebagai irsyad, sekiranya orang yang mempunyai keuzuran seperti yang tersebut merasakan berat untuk mengulangi atau mengqadha sembahyang yang telah dilakukan ketika anggota wudhunya berbalut atau berplaster, maka bolehlah dia bertaqlid (mengikut) wudhu mazhab Maliki. Dalam hal ini, hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki seperti berikut:
Pertama sekali dia hendaklah mengetahui bahawa rukun wudhu dalam mazhab Imam MAlik ada tujuh perkara, iaitu:
1. Niat.
2. Membasuh muka.
3. Membasuh dua tangan serta dua siku.
4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).
5. Membasuh dua kaki dan dua buku lali
6. Berturut-turut dengan tiada berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota yang lain.

Negara asal : Brunei darussalam

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid
Tarikh Diisu : 2004

Nota: FATAWA MUFTI KERAJAAN BRUNEI 2004.
Hantar artikel ini kepada rakan Mukasurat ramah pencetak

Hukum Hisap Shisha

ADA APA DENGAN SHISHA?
Tembakau, nikotin, tar, karbon monoksida, karsinogen, arsenik, kromium dan plumbum hanyalah secebis daripada cebisan kisah si pembunuh ‘suci’ ini. Suci kerana telah ‘disucikan!’ Kononnya.
Interaksi antara bahan-bahan yang berisiko tinggi, ‘disucikan’ dengan lapisan air dan diadun dengan bahan perisa yang mengasyikkan, maka jadilah shisha seperti yang kita kenali pada hari ini.
Shisha.
Shisha berasal dari India, sekitar abad ke-16 Masihi, sewaktu pemerintahan Empayar Islam Mughal berikutan pengenalan tembakau oleh para pedagang Eropah. Hakim Abu’l Fath Gilani, seorang ahli fizik berasal dari Gilan, iaitu sebuah wilayah di utara Iran, yang berhijrah ke India, menyedari akan kegilaan baru di kalangan golongan elit Mughal, iaitu menghisap tembakau, telah mereka cipta satu alat yang membolehkan asap tembakau melepasi air bagi tujuan ‘menyucikannya’.
Melalui Asad Beg, iaitu Duta Bijapur, ia diperkenalkan kepada Maharaja Akbar yang memerintah ketika itu. Ekoran itu, shisha menjadi popular di kalangan golongan elit India sebelum merebak ke Asia Tengah dan seluruh dunia.
KELENGKAPAN DAN PENYEDIAAN
Dalam sebuah shisha terdapat lima komponen penting – kepala, batang paip, balang air, hos dan muncung paip. Langkah penyediaannya pula cukup begitu mudah. Hanya masukkan tembakau yang diperam dengan ekstrak buah-buahan yang berperisa (epal, vanilla, nanas, strawberi, dll dsb) ke dalam bahagian kepala shisha dan diletakkan arang di atasnya. Tembakau dan arang selalunya dipisahkan dengan kepingan aluminium di antara kedua-duanya.
Apabila arang dipanaskan, lubang yang terdapat di bahagian bawah kepala shisha akan membenarkan asap yang terhasil menuruni batang paip dan terus masuk ke dalam balang air yang separuh terisi air. Gelembung-gelembung udara kemudian terhasil dan asap dibawa bersama-sama wap air melalui hos terus ke muncung paip.
Konsep sebegitu mudah, tapi sejauh manakah keberkesanannya?
Mari kita lihat satu persatu.
KARBON MONOKSIDA
“Gua first time sedut shisha, gua layan sampai pening beb. Maklumlah, first time lah katakan. Itu yang pening tu.”
Karbon monoksida. Malang yang tidak berbau, tidak berwarna, tidak berasa, juga tidak merengsakan.
Karbon monoksida dalam darah seseorang yang tidak merokok berkisar kurang dari 1%, perokok pasif mempunyai kadar karbon monoksida dalam darah berkisar antara 2-4% dan untuk perokok berat, kadar karbon monoksida dalam darah boleh mencapai 5-7%. Sementara menurut hasil penelitian, para penghisap shisha mempunyai kadar karbon monoksida dalam darah mencapai 8-12%.
Keracunan karbon monoksida mampu menjejas sistem pengangkutan oksigen dengan begitu berkesan sekali. Kekurangan bekalan oksigen seterusnya menyebabkan tergendalanya sistem saraf sentral, lantas sakit kepala, kepeningan menyusul.
Vertigo, konfusi, halusinasi, delirium, amnesia – kesemuanya menanti dalam senarai komplikasi keracunan karbon monoksida.
NIKOTIN DAN TAR
“Siapa kata shisha bahaya? Takde efek lah. Nikotin 0.5%, tar 0%. Sikit pun tak bahaya.”
Nikotin, walaupun berperatusan kecil, tetapi kebiasaannya para penghisap shisha menyedut asap shisha dalam kuantiti yang banyak menyebabkan kuantiti nikotin yang disedut, turut meningkat!
Setiap sesi menghisap shisha biasanya berlangsung selama 40 minit dan mengandungi antara 50 – 200 sedutan. Setiap sedutan pula mengandungi 0.15 – 0.50 liter asap. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan American Cancer Society telah menunjukkan bahawa, sepanjang kira-kira 1 jam sesi shisha, pengguna menyedut 100 – 200 kali asap dan kira-kira 70% lebih nikotin berbanding dengan sekali merokok.
Sudah tentulah tembakau tidak mengandungi tar, kerana ia tidak diperbuat daripada tar, sebaliknya, ia menghasilkan tar! Dengan kata lain, tar adalah bahan hitam legap dan berminyak yang terhasil daripada pembakaran kayu, arang atau tembakau.
Bahan inilah yang menyelaputi paru-paru dan menyumbat sel-sel pernafasan seterusnya menyebabkan kanser paru-paru. Kajian menunjukkan bahawa penggemar shisha 5 kali ganda lebih berisiko untuk menghidap kanser paru-paru berbanding orang yang tidak merokok.
LOGAM BERAT
Asap shisha juga mengandungi logam-logam berat yang tidak dapat ditapis sepenuhnya oleh lapisan air. Plumbum contohnya, berupaya mempengaruhi sistem saraf sentral dan menimbulkan tanda-tanda kronik keracunan, termasuklah sakit kepala, kehilangan selera makan, anemia, kelesuan serta insomnia.
Tidak hairanlah sekiranya penghisap shisha kadang-kadang berkata, “Sekali sedut, tak makan sehari dua.”
KARSINOGEN
Selain itu, karsinogen yang terbebas di dalam asap shisha boleh menyebabkan kanser. Kajian yang dilakukan di Yaman menunjukkan risiko kanser esofagus dan gastrik meningkat di kalangan penghisap shisha berbanding orang yang tidak merokok. Ia juga meninggikan risiko mendapat kanser paru-paru sebanyak dua kali ganda dan berkadar terus dengan kekerapan penggunaannya. Kanser mulut juga telah dilaporkan dialami oleh penghisap shisha di Mesir.
JANGKITAN VIRUS DAN BAKTERIA
Di Mesir, penyakit tuberkulosis menjadi suatu kebiasaan di semua hospital disebabkan perkongsian muncung paip shisha yang mendedahkan para penghisap shisha kepada bahaya jangkitan penyakit yang merebak melalui air liur.
Aspergillosis juga telah dilaporkan mampu berjangkit di kalangan penghisap shisha yang bercampur marijuana. Patogen-patogen lain yang boleh merebak melalui perkongsian muncung paip shisha termasuklah Hepatitis C, Herpes simplex virus (HSV), Epstein-Barr virus (EBV), respiratory syncytial virus (RSV) dan Human immunodeficient virus (HIV).
Jelas sudah bahawa filter air yang berfungsi di dalam shisha tidak dapat menapis sepenuhnya bahan-bahan toksik dan karsinogen yang membahayakan kesihatan, bahkan penggunaannya juga meningkatkan kandungan toksin dalam badan dan risiko jangkitan penyakit yang merbahaya.
HUKUM BERHUBUNG SHISHA
Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, bekas mufti Arab Saudi, ketika menjawab soalan berhubung hukum menghisap shisha menjelaskan seperti berikut:
“Menghisap shisha dan rokok dan segala jenisnya termasuk dalam perkara-perkara yang diharamkan kerana kedua-duanya mengandungi kemudaratan yang banyak. Pakar-pakar perubatan telah menjelaskan kesan-kesan buruk kedua-dua perkara tersebut (shisha dan rokok). Sesungguhnya ALLAH SWT telah mengharamkan ke atas orang Islam melakukan sesuatu yang memudaratkan mereka. Oleh itu adalah wajib bagi mereka yang menghisap shisha atau rokok supaya berhenti dan berwaspada daripada perbuatan tersebut kerana firman ALLAH SWT:
Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?”. Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik…..” – Al-Qur’anul Karim; Surah Al-Maidah (5) ayat 4.
Dan firmanNYA lagi: “Dan dia (Muhamad) yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka.” – Al-Qur’anul Karim; Surah Al-A’raaf (7) ayat 157.
Dan kesemua jenis rokok dan shisha termasuk dalam perkara buruk yang memudaratkan manusia. Maka kesemua jenis rokok dan shisha adalah haram berdasarkan kepada dua ayat al-Quran di atas apabila diperhati maksud kedua-duanya. Kita memohon kepada ALLAH SWT agar memberi petunjuk kepada orang Islam mengenai apa yang baik dan yang dapat menyelamatkan mereka. Juga memohon agar ALLAH SWT melindungi mereka daripada perkara-perkara yang memudaratkan mereka di dunia dan akhirat. Sesungguhnya DIA adalah sebaik-baik tempat memohon.”
KESIMPULAN
Daripada Nu’man bin Basyir bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itupun jelas dan di antara keduanya ada perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa memelihara dirinya daripada segala yang shubhat, maka sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhat seperti pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir dia terjerumus ke dalamnya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
PAUTAN
http://www.who.int/tobacco/global_interaction/tobreg/Waterpipe%20recommendation_Final.pdf
www.ash.org.uk/files/documents/ASH_134.pdf
http://muslimmatters.org/wp-content/uploads/2008/03/hookah-smoking-haram.pdf
http://bicara4negara.wordpress.com/2007/03/26/syisya-satu-kajian/

-----------
Credit to : http://psipum.org/shisha-fakta-dan-fatwa/